Physical Address
304 North Cardinal St.
Dorchester Center, MA 02124
Physical Address
304 North Cardinal St.
Dorchester Center, MA 02124

Berjalan-jalan sekitar Muar kini telah menjadi rutin bulanan keluarga aku. Kenapa aku boleh cakap begitu? Semuanya bermula kerana anak sulung aku kini ditempatkan di MRSM Muar untuk sesi persekolahan tingkatan 1 tahun 2026 ini. Kini bermulalah episod untuk aku cuba kembara berjalan-jalan di sekitar Muar setiap kali aku sekeluarga singgah di sana.
Hari pertama aku menghantar anak ke Muar, ada sesuatu tentang Muar yang membuatkan kunjungan terasa seperti pulang ke kampung. Bandar diraja Johor ini berdiri tenang di muara Sungai Muar, dengan angin Selat Melaka yang membawa bau laut, kopi panas, dan nostalgia yang sukar dijelaskan. Aku yang sememangnya dibesarkan di kampung memang melekat dengan jiwa keadaan tenang di Muar ini.
Pagi di Muar biasanya bermula dengan perlahan. Aku boleh berjalan di Tanjung Emas, taman tepi sungai yang menjadi nadi bandar ini. Dari sini, aku nampak bot-bot kecil, burung camar, dan keluarga yang datang untuk menikmati angin pagi. Suasananya damai, seolah-olah masa bergerak lebih perlahan di sini.
Masuk sedikit ke bandar, bangunan-bangunan kolonial lama berdiri megah peninggalan era perdagangan yang menjadikan Muar penting sejak abad ke-19. Di antara bangunan-bangunan ini, aku jumpa Muar Clock Tower, masjid Sultan Ibrahim yang ikonik, dan deretan kedai kopi yang masih mengekalkan resipi turun-temurun.
Dan sudah tentu, tak lengkap cerita Muar tanpa makanan. Mee bandung Muar yang asli pekat, pedas, penuh rasa dan memang lain macam bila dimakan di tempat asalnya. Jalan Glutton Street pula hidup pada waktu malam, dengan aroma sate, otak-otak, dan kuih tradisi yang memanggil dari jauh.
Akhirnya, Muar ialah bandar yang tidak memaksa aku untuk “buat banyak benda”. Ia cuma mengajak aku berjalan perlahan, menikmati suasana, dan merasai kehangatan sebuah bandar kecil yang penuh jiwa.
Hari Ahad, 5 April. Macam biasa, MRSM Muar benarkan ibu bapa outing dengan anak. Tapi kali ini lain sikit kerana bukan sekadar rutin ambil anak, makan di mall, hantar balik. Ada rasa rindu yang lain macam, mungkin sebab minggu-minggu sebelum ni asyik ulang tempat sama: Watex mall, makan, jalan, balik. Jadi aku sekeluarga sepakat nak buat kelainan.
Pagi itu kami bertolak dari Tampin ke Muar, perjalanan yang tak terlalu jauh tapi cukup untuk buat aku rasa teruja. Bila sampai MRSM, tengok anak keluar dengan senyum lebar… hilang terus penat memandu. Ada sesuatu tentang momen jumpa anak di asrama yang ringkas, tetapi penuh makna.
Lepas ambil anak, kami terus ke Pantai Leka berjarak 12km dari MRSM Muar. Aku sekadar buat carian ringkas di internet tentang tempat menarik berhampiran sekolah anak dan tempat ni singgah di telefon aku sewaktu mencari, dan akhirnya membuat keputusan untuk singgah di Pantai Leka. Bila sampai, aku terus rasa amat berbaloi untuk singgah di sini.
Pantai Leka bukan pantai jenis pasir putih macam di pulau. Dia lebih kepada pantai muara luas, berangin, dan ada suasana kampung laut yang sangat menenangkan. Angin laut yang kuat buat rambut aku berkibar macam iklan syampu (ini cuma khayalan aku je), tapi aku suka. Ada bot-bot kecil, ada nelayan yang baru balik, ada keluarga yang duduk santai sambil anak-anak berlari kejar angin.
Burung-burung bangau dan camar terbang rendah, seolah-olah mereka pun nak join outing kami. Bau laut, bunyi ombak kecil, dan langit yang cerah buat aku rasa macam masa bergerak perlahan. Anak aku pun nampak lebih ceria mungkin sebab dapat keluar dari rutin asrama dan hirup udara laut.
Kami jalan-jalan sekejap, ambil gambar, dan duduk menikmati suasana. Tak ada aktiviti berat, tak ada agenda ketat. Cuma… bersama.



Lepas puas di pantai, perut mula bagi isyarat. Kami singgah di food court Pantai Leka tempat makan yang simple, tapi pilihan lauk dia memang buat aku rambang mata.
Aku pilih asam pedas, sudah tentu. Muar kan memang terkenal dengan asam pedas dia. Bila suapan pertama masuk mulut, aku terus senyap. Kuah dia tidak cair tidak pekat ngam dengan selera aku, pedas dia ngam, rasa ikan dia segar. Memang jenis hidangan yang buat kau lupa nak bercakap sebab fokus menikmati.
Selain tu, kami ambil juga masakan kampung sayur lemak, sambal belacan, ikan goreng panas. Semua rasa macam masakan rumah. Anak aku pun makan berselera, mungkin sebab makan sambil tengok laut.
Suasana food court tu pun best angin masuk dari laut, bunyi orang berbual, bau makanan kampung yang menyelerakan. Simple, tapi cukup untuk buat hati rasa penuh.

Waktu makan ni memang tak fikir nak ambil gambar. Sudah selesai makan barulah teringan nak ambil gambar.
Lepas puas menikmati angin laut di Pantai Leka, kami sekeluarga teruskan berjalan-jalan sekitar Muar ke perjalanan ke satu tempat yang aku sendiri baru tahu iaitu Laman Bakau, Parit Kassim Muar. Dari luar, tempat ni nampak macam projek baru yang masih segar dalam pembangunan, belum ramai orang tahu. Bila kami sampai dalam pukul 2 petang dengan terik matahari, memang betul kawasan tu sunyi, tak ada pengunjung lain. Hanya kami, angin, dan bunyi alam dan masuk je dalam hutan paya bakau itu terik matahari yang membakar tadi tidak lagi terasa.
Di pintu masuk, ada sebuah kedai makan kecil. Ringkas, tapi nampak bersih dan teratur. Bau kopi dan gorengan dari dapur dia buat aku rasa macam nak singgah, tapi perut masih kenyang selepas makan tengah hari di Pantai Leka tadi jadi kami simpan dulu untuk balik nanti. Fokus utama aku adalah nak tengok sendiri apa yang menarik sangat tentang Laman Bakau ni.
Bila kaki mula melangkah masuk ke trek kayu tu, aku terus rasa macam berada di dunia lain. Kiri kanan penuh dengan pokok bakau yang tinggi dan rapat, akar-akar dia mencengkam tanah hitam paya tu macam seni abstrak yang pelik tapi cantik.
Air paya bakau tu tenang, tapi penuh kehidupan. Bila aku tunduk, aku nampak:
Suasana dia… memang menenangkan. Sunyi, tapi bukan sunyi kosong. Sunyi yang penuh bunyi alam, bunyi daun, bunyi air, bunyi serangga. Anak aku pun terdiam sekejap, mungkin terpesona dengan suasana yang jarang dia jumpa.





Tak jauh dari pintu masuk, ada sebuah menara kayu. Kami naik perlahan-lahan, dan bila sampai atas… Subhanallah, pemandangan dia memang lain macam.
Dari atas, aku nampak:
Rasa macam tengok dunia yang jarang manusia sentuh. Tenang, asli, dan penuh kehidupan kecil yang kita selalu tak perasan.





Kami teruskan perjalanan ikut trek kayu tu. Semakin jauh, semakin luas pemandangan. Sampai satu titik, trek tu terbuka dan terus menghala ke arah laut.
Bila sampai hujung, aku terdiam.
Di depan aku, terbentang laut luas. Angin kuat, bunyi ombak, dan langit yang cerah buat aku rasa kecil tapi dalam masa yang sama, rasa sangat hidup. Anak aku pun berdiri lama sambil tengok laut, mungkin menikmati kebebasan sekejap dari rutin asrama.
Tempat ni mungkin baru, mungkin belum ramai orang tahu. Tapi bagi aku, Laman Bakau Parit Kassim adalah permata tersembunyi Muar. Tempat yang buat kau rasa dekat dengan alam, jauh dari bising, dan dekat dengan diri sendiri.





Sebelum menghantar anak semula ke MRSM, kami singgah sekejap di Lotus Muar. Biasalah, setiap kali outing mesti ada saja barang keperluan yang anak perlukan contohnya sabun, roti, air kotak, jajan sikit untuk bekalan minggu depan. Walaupun benda-benda kecil, tapi sebagai ibu bapa, momen memilih barang dengan anak tu sebenarnya yang paling mahal nilainya.
Anak aku pun ambil peluang ni untuk pilih barang yang dia suka. Aku tengok dia berjalan sambil pegang bakul, dan dalam hati aku rasa… cepat betul masa berlalu. Baru semalam rasa macam dia kecil, sekarang dah sekolah asrama.
Lepas bayar barang, kami duduk sekejap di kereta. Bukan sebab penat sangat, tapi sebab masing-masing nak panjangkan masa sebelum hantar dia balik.
Bila sampai semula di MRSM, macam biasa ada rasa berat sikit. Tapi aku tahu, hari ini dia gembira. Kami pun gembira. Outing kali ini bukan sekadar jalan-jalan — ia jadi ruang untuk kami bernafas, berbual, dan rasa dekat sebagai keluarga.
Dan aku terfikir… Muar ni sebenarnya banyak tempat menarik yang aku belum teroka. Pantai Leka, Laman Bakau Parit Kassim — dua tempat ni pun dah cukup buat outing kami rasa lain daripada biasa.
Lepas ini, aku akan cuba cari lagi tempat-tempat menarik sekitar Muar untuk bawa anak jalan-jalan. Biar setiap outing jadi kenangan baru, bukan sekadar rutin.
Kadang-kadang, yang sederhana itulah yang paling kita simpan dalam hati.